Kehidupan awal, regensi, dan perang Louis_XIV_dari_Perancis

Pada keputeraan Louis XIV di Château de Saint-Germain-en-Laye dalam tahun 1638, ibu bapanya, Louis XIII dari Perancis dan Anne dari Austria, yang tidak mempunyai anak selama 23 tahun, menganggap beliau sebagai anugerah Tuhan. Oleh itu, beliau dinamai "Louis-Dieudonné" ("Dieudonné" merupakan terjemahan Perancis bagi ungkapan Latin "Deodatus" yang bermaksud "yang diberikan Tuhan"); beliau juga diberikan gelaran premier fils de France ("Putera Pertama Perancis") serta gelaran yang lebih tradisional, Dauphin de Viennois.

Louis XIV merupakan keturunan kepada banyak kerabat diraja Eropah. Datuk nenek sebelah ayahnya ialah Henry IV dari Perancis dan Marie de' Medici yang masing-masing merupakan orang Perancis dan orang Itali, manakala datuk nenek sebelah ibunya adalah daripada kerabat diraja Habsburg: Felipe III dari Sepanyol dan Margarita dari Austria. Dengan itu, Louis XIV boleh mengambil kira sebagai nenek moyongnya berbagai-bagai tokoh sejarah seperti:

Louis XIII dan Anne kemudian dikurniai putera yang kedua, Philippe d'Anjou (kemudian Philippe I, Duke Orleans) pada tahun 1640. Bagaimanapun, Louis XIII tidak mempercayai keupayaan isterinya untuk memerintah Perancis selepas kemangkatannya. Oleh itu, baginda mengeluarkan dekri bahawa sebuah majlis pemangku yang diketuai oleh Anne ditubuhkan untuk memerintah atas nama puteranya sebelum puteranya dewasa. Ini mengurangkan kuasa Bonda Ratu. Bagaimanapun, apabila Louis XIII mangkat dan putera yang mudanya, Louis XIV, naik takhta pada 4 Mei 1643, Anne memansuhkan wasiatnya melalui Parlement, menghapuskan majlis pemangku, dan menjadi Pemangku Raja yang tunggal. Anne mengamanahkan kuasa kepada ketua menterinya, Kardinal Mazarin. Disebabkan Kardinal Mazarin dilahirkan di Itali, beliau dipandang rendah oleh lingkungan politik Perancis, walaupun beliau telah menjadi warganegara Perancis.

Kardinal Mazarin meneruskan dasar pemusatan yang dilaksanakan oleh ketua menteri sebelumnya, Armand Jean du Plessis, Kardinal Richelieu, yang mencuba menambah kuasa raja dan mengurangkan kuasa golongan bangsawan. Pada tahun 1648, beliau cuba mengenakan cukai pada ahli-ahli Parlement, suatu mahkamah yang kebanyakan ahli-ahlinya terdiri daripada orang bangsawan dan paderi berpangkat tinggi. Ahli-ahli Parlement bukan sahaja enggan patuh, tetapi juga mengarahkan bahawa semua watikah pengisytiharan kewangan yang awal dibakar. Apabila Kardinal Mazarin menahan beberapa ahli Parlement, rusuhan dan pemberontakan berlaku, mencetuskan perang saudara Perancis yang dikenali sebagai Fronde.

Sekumpulan perusuh Paris memecah masuk ke dalam istana dan mendesak untuk berjumpa dengan raja mereka. Apabila mereka dibawa ke bilik tidur diraja, mereka melihat Louis XIV yang telah berpura-pura tidur, dan beredar. Disebabkan oleh bahaya yang menghadapi keluarga diraja dan pemerintahan beraja, Anne melarikan diri dengan raja serta pengikut-pengikutnya. Tidak lama kemudian, Keamanan Westphalia dimeterai yang membenarkan angkatan tentera Perancis di bawah Louis II de Bourbon, Putera de Conde kembali untuk membantu Louis XIV. Pada Januari 1649, Putera de Conde mengepung Paris. Ini membawa kepada pemeteraian Keamanan Rueil yang kemudian mengakhirkan pertempuran buat sementara waktu.

Selepas Fronde pertama (Fronde Parlementaire) tamat, Fronde kedua yang merupakan pemberontakan putera-putera bermula pula pada tahun 1650. Ahli-ahli bangsawan yang terdiri daripada semua pangkat, termasuk:

menyertai pemberontakan terhadap pemerintahan raja. Golongan paderi diwakili oleh Jean Francois Paul de Gondi, Kardinal Retz. Kesudahan masa-masa yang gamat ini ketika Bonda Ratu dikatakan terpaksa menjual barang-barang kemas untuk menyara putera-puterinya, ialah seorang raja yang penuh dengan kesangsian terhadap golongan bangsawan dan kumpulan perusuh.